Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
NASIONAL

Warden liwat lima pelajar tahfiz dipenjara 228 tahun, 42 sebatan

 

KANGAR, 30 Mei: Seorang warden asrama sebuah pusat tahfiz di sini, dihukum penjara berjumlah 228 tahun serta 42 sebatan selepas mengaku bersalah atas 25 pertuduhan meliwat dan melakukan jenayah seksual terhadap lima pelajar tahfiz serta satu kesalahan memiliki video lucah dalam telefon bimbit.

Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Nawawi Anuar, 28, semalam (29 Mei) dan memerintahkan Nawawi menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap, awal bulan ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 15 tahun, 10 tahun dan tujuh tahun bagi 25 pertuduhan meliwat dan melakukan jenayah seksual, serta penjara setahun bagi kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem iaitu memiliki video lucah di dalam telefon bimbitnya.

Semalam media melaporkan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap Nawawi berjumlah 133 tahun, bagaimanapun pihak pendakwaan hari ini hadir ke mahkamah itu untuk menyemak semula jumlah hukuman itu dan mahkamah mengesahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara berjumlah 228 tahun.

Ini berikutan mahkamah memerintahkan hukuman terhadap 20 pertuduhan berjalan secara berasingan manakala enam lagi berjalan serentak.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah Maahad Tahfiz di sini terhadap lima pelajar lelaki masing-masing berusia sembilan, 10, 11 dan 15 tahun sepanjang April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 15(e) dan Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

Lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan mahkamah menetapkan 9 Julai untuk sebutan kes itu.

Semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Noshuhada Mohd Yatim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius sehingga mengakibatkan trauma kepada semua mangsa dan keluarga mereka.

Katanya tertuduh juga gagal menjalankan amanah yang diberikan sebagai warden di pusat tahfiz itu.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mohd Hapiz Rajali yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan kerana tertuduh kini insaf dan kejadian itu berlaku akibat dia trauma kerana pernah menjadi mangsa liwat.

“Tertuduh pernah menjadi mangsa liwat semasa belajar di sebuah pusat tahfiz sewaktu berumur 14 tahun. Ia menjadikan tertuduh trauma,” katanya dan menambah tertuduh merupakan anak ketiga daripada lima beradik telah kematian bapa manakala ibunya seorang suri rumah.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali dan Mohd Farhan Aliff Ahmad. -BERNAMA


Pengarang :