KEPALA BATAS, 24 Mei — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga kanan) mengacau bubur lambuk bersama warga emas, Baharudin Dahlan,66, (kiri), Abdul Latif Ismail (tiga, kiri) dan Mazenah Shariff,64, (kanan) semasa melawat Kompleks warga emas Darul Hanan di Pongsu Seribu hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
RENCANA

Warga emas Darul Hanan teruja dapat rasai bubur lambuk resipi istana

KEPALA BATAS, 24 Mei: Biarpun tidak dapat bersua muka menatap wajah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara dekat pada hari ini, warga emas di Darul Hanan Pulau Pinang tetap teruja dan gembira apabila dapat merasai sendiri bubur lambuk resepi dari Istana Pahang.

Pengerusi Darul Hanan Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata biarpun Raja Permaisuri Agong tidak dapat menghadiri majlis yang dijadualkan untuk memasak sendiri bubur lambuk hasil resepinya, penghuni Darul Hanan turut berpeluang merasai bubur lambuk itu menerusi resepi yang diberikannya.

“Saya bersyukur Darul Hanan dipilih oleh Tuanku. Kita turut bersedih di atas kemangkatan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah. Namun kita tetap menaruh harapan suatu hari nanti Raja Permaisuri Agong akan tetap ke sini.

“Bagaimanapun, kita tetap berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana sudi datang pada majis ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Salam Ramadan ke Pusat Penjagaan Warga Emas Darul Hanan di Pongsu Seribu, Kepala Batas di sini.

Berkenaan juadah istimewa bubur lambuk itu, Jahara berkata ia amat unik kerana menggunakan bahan yang tidak pernah digunakan dalam memasak bubur lambuk biasa.

“Walaupun baginda tidak dapat datang, tetapi kita semua tetap dapat merasa resepi dari Istana Pahang yang sangat unik. Resepi itu sangat unik kerana bahan-bahan yang dimasukkan ke dalam bubur itu kita tidak pernah digunakan dalam bubur biasa.

“Bagi bubur resepi istana ini bahan-bahan yang dimasukkan adalah pucuk paku merah, rempah-ratus terutama sekali herba-herba tempatan yang sememangnya awet muda, daun kunyit, daun kaduk, cekur manis, daun kesom, ikan tenggiri, udang serta ayam. Walaupun tuanku tidak dapat hadir, semangatnya ada bersama kita menerusi resepi yang diberi,” katanya.

Pada majlis itu Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat turut meluangkan masa memasak bubur lambuk istimewa untuk penghuni Darul Hanan. Turut hadir timbalannya Hannah Yeoh.

Sebanyak 20 kilogram beras digunakan untuk memasak bubur lambuk itu melibatkan dua periuk besar yang mampu menghasilkan 700 bungkus bubur lambuk.

Pada program itu, Timbalan Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat pusat itu dan menyantuni penghuni yang menetap di pusat berkenaan.

Bagi Maznah Shariff, 64, beliau turut menzahirkan rasa teruja apabila dapat merasai keenakkan bubur lambuk resepi Raja Permaisuri Agong yang turut dimasak oleh Timbalan Perdana Menteri.

“Seronok sangat hari ini, tidak sabar nak rasa bubur lambuk ini. Saya juga gembira dapat bertemu secara dekat dengan Timbalan Perdana Menteri yang turut turun padang memasak bubur lambuk biarpun sibuk dengan tugasan kerjanya yang padat,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :