NASIONAL

WCY 2019: Malaysia kekal di tangga ke-22

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Malaysia mengekalkan kedudukannya di tangga ke-22, dalam kalangan 63 negara, dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY) 2019 yang dikeluarkan IMD World Competitiveness Centre, berpangkalan di Lausanne, Switzerland.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, dengan skor 82.54 daripada 100 mata, Malaysia mengekalkan kedudukannya bagi tahun kedua, mencerminkan sentimen positif komuniti perniagaan terhadap kerajaan baharu.

“Laporan itu menunjukkan penambahbaikan dalam petunjuk berkaitan institusi seperti sogokan dan rasuah, ketelusan, birokrasi, keadilan, perpaduan sosial dan kewangan awam dari segi kedudukan dan nilai berbanding tahun sebelumnya.

“Semua petunjuk ini meningkat dalam skor nilai lebih daripada 10 peratus, dalam jajaran antara 10.8 peratus dalam kewangan awam kepada 31.1 peratus dalam sogokan dan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

WCY 2019 menilai ekonomi berdasarkan kepada empat faktor input daya saing iaitu prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan prasarana dengan setiap satu merangkumi lima sub-faktor.

Secara keseluruhannya, Malaysia terus berada di hadapan mendahului Belgium (ke-27), Korea Selatan (ke-28) dan Jepun (ke-30).

Malaysia dipintas New Zealand pada satu tangga dan berada di kedudukan ke-7 dalam kalangan 14 ekonomi Asia Pasifik, dan di kedudukan kedua hanya di belakang Singapura di ASEAN, mengatasi negara lain di rantau ini.

Malaysia muncul di tempat kedua dalam kalangan 28 ekonomi dengan keluaran dalam negara kasar perkapita kurang daripada US$20,000.

Darell berkata persekitaran luaran yang mencabar tahun lalu sedikit sebanyak memberi kesan kepada daya saing ekonomi-ekonomi lebih kecil dan Malaysia tidak terkecuali.

Beliau berkata peristiwa termasuk penutupan operasi kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) serta ketidakpastian berhubung dasar monetarinya, kelembapan pertumbuhan ekonomi China dan ketegangan perdagangan berlarutan antara AS-China menjejaskan ekonomi global dan negara.

Bagaimanapun, dalam membandingkan 15 ekonomi berdaya saing utama dalam carta dengan keseluruhan prestasi Malaysia, ia merekodkan bahawa prestasi ekonomi negara di kedudukan ke-11 adalah setanding dengan ekonomi kedua paling berdaya saing Hong Kong (ke-10) dan mengatasi ekonomi pesaing lain seperti Kanada (ke-12), Switzerland (ke-23) dan Finland (ke-35), jelasnya.

“Malaysia perlu beralih daripada pertumbuhan didorong input kepada pertumbuhan didorong produktiviti bagi mencapai pengembangan ekonomi mampan, sejajar dengan inisiatif yang digariskan dalam Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia.

“Saya percaya petunjuk ekonomi Malaysia telah bertambah baik dan menerusi pelaksanaan pembaharuan utama, Malaysia akan berjaya dalam persaingan kompetitif ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :