BERITA UTAMASELANGOR

World #QuranHour: PPAS pilih surah Al-Kahfi

SHAH ALAM, 30 MEI: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memilih Surah Al-Kahfi untuk dibaca dan dihayati sempena sambutan World #QuranHour di seluruh negara, hari ini.

Pengarahnya, Mastura Muhamad berkata, ayat yang dikhususkan pada kali ini adalah 10 ayat awal, iaitu ayat 1 hingga 10 dan 10 ayat akhir, iaitu ayat 101 hingga 110.

“Bagi saya surah Al-Kahfi sangat ‘evergreen’, intipatinya kita boleh aplikasi bukan sahaja pada waktu kerja, malah ketika bersama keluarga.

“Kalau kita balik pada al-Quran, insyaAllah kita dapat bekerja dengan baik, sekali gus berkhidmat pada masyarakat dengan lebih baik. Apabila masyarakat menjadi baik, maka membuatkan negara kita menjadi harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi bacaan dan tadabur al-Quran selama satu jam, bermula 12 tengah hari tadi, di sini.

Pengisian tadabur Surah Al-Kahfi itu disampaikan Imam Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13, Ustaz Umar Abdul Aziz manakala bacaan al-Quran dipimpin empat kakitangan PPAS.

Seramai 250 peserta daripada jabatan kerajaan, pelajar tahfiz, kakitangan PPAS dan pengunjung perpustakaan Shah Alam hadir memeriahkan program terbabit.

Sementara itu, Mastura berkata, program yang diadakan pada tahun keempat itu turut diadakan di 104 perpustakaan di seluruh Selangor secara serentak, pada hari ini.

World #QuranHour 2019 dicetuskan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang bermula dengan penubuhan Rumah Ngaji dengan tujuan menggalakkan umat Islam kerap berinteraksi dengan al-Quran melalui Baca, Faham dan Amal.


Pengarang :