SELANGOR

Worldwide agih RM320,200 bantu 594 asnaf fakir di Selangor

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA SELANGOR, 15 MEI: Worldwide Holdings Berhad hari ini mengagihkan sumbangan zakat berjumlah RM320,200 kepada 594 asnaf fakir, di seluruh negeri.

Majlis serahan disempurnakan Ketua Pegawai Perkhidmatan Strategik, Ahmad Azman Azizul Rahman dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid, di Masjid Nurul Hidayah, Jeram di sini.

Agihan zakat turut disalurkan kepada 138 asnaf miskin bagi daerah Kuala Selangor.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Worldwide Holdings, Ami Nardin Ishak berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi meringankan beban golongan berkenaan.

“Kami berbesar hati berkongsi rezeki bersama insan yang memerlukan khususnya mualaf kerana kita sentiasa menerima ahli baru untuk bersyahadah.

“Inisiatif ini juga akan diteruskan sepanjang tahun, bukan sahaja pada bulan Ramadan,” katanya
ketika ditemui media pada Majlis Worldwide Prihatin Bersama Asnaf, di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Alam Sekitar, Zamri Abdul Rahman; Ketua Pegawai Kewangan Worldwide Holdings; Kamal Zaharin Nazir, pegawai kanan Worldwide Holdings serta wakil daripada LZS.

Pada masa sama, Ami Nardin berharap sumbangan itu dapat membantu asnaf menikmati keperluan harian terutama menjelang Aidilfitri.

Terdahulu, Worldwide Holdings menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM2,750,353 kepada LZS, pada tahun ini.


Pengarang :