SELANGOR

Worldwide Holdings perkasa prasarana sekolah KAFA

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA SELANGOR, 15 MEI: Worldwide Holdings Berhad komited memperkasakan prasarana bagi Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) supaya penuntutnya mendapat pendidikan terbaik.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Ami Nardin Ishak berkata, inisiatif itu berjaya mendapat kelulusan pihak pengurusan Worldwide pada peringkat pertama membabitkan kawasan Jeram.

“Sebelum ini, saya sudah melawat tiga sekolah di sini dan ia kelihatan sangat daif kerana mereka tidak mempunyai peruntukan secukupnya.

“Oleh itu, penambahbaikan di sekolah KAFA bakal dilaksanakan kerana mereka berhak mendapatkan prasarana yang lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Worldwide Prihatin Bersama Asnaf di Masjid Nurul Hidayah, Jalan Simpang Tiga Jeram, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Perkhidmatan Strategik, Ahmad Azman Azizul Rahman dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Alam Sekitar, Zamri Abdul Rahman; Ketua Pegawai Kewangan Worldwide Holdings; Kamal Zaharin Nazir, pegawai kanan Worldwide Holdings serta wakil daripada Lembaga Zakat Selangor.

Ami Nardin berkata, penambahbaikan itu adalah komitmen kepada masyarakat setempat supaya mereka mengenali Worldwide Holdings ekoran terdapat beberapa projek bakal dilaksanakan di Jeram.

“Menerusi perkembangan projek ini, ia juga dapat membuka peluang pekerjaan khususnya kepada anak tempatan di sekitar kawasan ini.

“Insyaallah pelbagai bantuan dan program akan diteruskan untuk kita berkongsi dengan masyarakat setempat,” katanya.


Pengarang :