NASIONAL

Xavier: Segerakan kerja pembaikan paip

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 MEI: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar mengarahkan Air Selangor menyegerakan kerja pembaikan tiga paip utama yang mengakibatkan bekalan air sebahagian penduduk di Klang terjejas.

Katanya, kerja pembaikian berkenaan sudah siap dan bersedia untuk menyalurkan bekalan, namun terdapat kerosakan baru malam tadi yang berpunca daripada pergerakan tanah.

“Air Selangor sedang berusaha membaik pulih keadaan bagi memastikan bekalan air kembali secepat mungkin. Ketiga-tiga paip yang rosak itu adalah paip utama.

“Kerosakan itu berlaku akibat kegagalan dinding penahan baru yang dibina pemaju Lebuhraya West Coast Expressway (WCE), justeru kerja pembaikan sukar dan berisiko tinggi kerana terdapat tanda-tanda tanah pergerakan di dinding penahan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Air Selangor mengesahkan tempoh siap kerja pembaikan tiga paip utama berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Banting-Taiping yang pecah hujung minggu lalu, terpaksa dilanjutkan.

Sebanyak 65 kawasan membabitkan 175,000 pemegang akaun khususnya sebahagian Klang terjejas.


Pengarang :