NASIONAL

YaPEIM pada landasan baik bangun semula reputasi

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) percaya ia kini berada di landasan yang baik untuk membangunkan semula reputasi yayasan itu yang berperanan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi masyarakat Islam di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YaPEIM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, ini berikutan proses pemulihan dan penjajaran semula terhadap urusan pentadbiran telah dilakukan LPA sejak diamanahkan oleh kerajaan enam bulan yang lepas.

“Pihak LPA YaPEIM telah mengambil pendekatan yang rapi, tersusun dan profesionalisme untuk mengurangkan kos pentadbiran, menutup ketirisan, dan menstrukturkan semula institusi milik penuh dan institusi di bawah kawalan YaPEIM.

“Selain itu ia turut akan membentuk semula jawatankuasa khusus YaPEIM dan melantik firma PwC (Pricewaterhouse Coopers) untuk mendapatkan semula pandangan pihak ketiga keatas prosedur kewangan dan perolehan YaPEIM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut meyakinkan masyarakat di negara ini bahawa semua urusan pentadbiran YaPEIM akan dipantau sepenuhnya oleh LPA YaPEIM berdasarkan laporan audit yang dikeluarkan firma PwC dan audit dalam YaPEIM.

Sebelum ini YaPEIM dilaporkan dilanda kontroversi susulan pendedahan mengenai salah laku dan kecuaian dalam pengurusan.

Mohd Daud dalam pada itu berkata satu pertemuan dengan warga kerja YaPEIM akan diadakan secara tertutup yang bertujuan menjelaskan mengenai isu penggantungan tugas Ketua Pengarah YaPEIM Datuk Abibulah Samsudin.

Abibullah, digantung tugas untuk sementara berkuat kuasa semalam berhubung dakwaan salah laku kerana didakwa terbabit aktiviti kempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain itu, pertemuan itu juga untuk membincangkan hala tuju pentadbiran YaPEIM dan kaedah pemantauan yang akan dilakukan LPA selepas mendapat laporan audit daripada PwC pada April lalu dan dimuktamadkan oleh LPA 2 Mei lalu.

“Pihak LPA akan mendengar secara langsung dari semua warga kerja mengenai isu-isu sumber manusia terutamanya berkaitan dengan Skim Perkhidmatan YaPEIM, imbuhan dan ganjaran serta pematuhan kepada tadbir urus yang baik dan profesionalisme dalam YaPEIM,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :