SELANGOR

Yassin Sulaiman bakal meriahkan Karnival 3W di Pantai Bagan Lalang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 MEI: Pernah meniti populariti tersendiri sekitar era 2000 menerusi lagu berentak ‘world music’, penyanyi Yaasin Sulaiman sekali lagi bakal tampil menceriakan pentas Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) di Pantai Bagan Lalang, Sepang, Sabtu ini.

Penyanyi solo yang popular dengan lagu ‘Mimpi Laila’ itu dijangka akan menemui warga Sepang pada 9 malam selepas sesi bual bicara bertajuk ‘Keluarga Sihat di Bulan Ramadan’.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Mohd Fauzi Yatim berkata, pihaknya turut menampilkan Ahli Farmasi, Siti Hawa bersama Pegawai Sains Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Siti Noraafiah Mohd Yusoff menerusi slot berkenaan.

Katanya, karnival itu mengangkat tema Hari Tanpa Tembakau dan Sambutan Nafas Baru Bermula Ramadan.

“Kami menyasarkan penyertaan seramai 2,000 orang awam, khususnya penduduk setempat dari sekitar daerah Sepang dalam program yang berlangsung dari jam 7 pagi hingga 11 malam.

“Program ini akan disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan turut serta ialah EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

“Pasukan COMBI Selangor juga akan membaca ikrar bebas asap rokok bersama Menteri Kesihatan,” katanya kepada SelangorKini.

Pelbagai pengisian acara menarik disajikan kepada pengunjung antaranya 10,000 langkah, ‘Beyblade Challenge’, silat berpasukan semarak api, ‘3W Beach Ultimate Open 2019’, bengkel gubahan bunga, sabun dan tuala, anyaman ketupat dan reben serta promosi Tahun Melawat Sepang 2019.

Karnival terbabit turut menggabungkan kerjasama dan input daripada jabatan lain termasuk agensi Kerajaan Negeri atau agensi Kerajaan Pusat yang berkait rapat dengan tema berkenaan.

Terdahulu, Dr Siti Mariah berkata, karnival seumpama itu membina landasan terbaik buat rakyat Selangor mendapatkan maklumat berkaitan wanita, kebajikan dan kesihatan.

“Inisiatif ini diambil kerana selain berkongsi maklumat dengan masyarakat, kita juga mahu memberi penerangan berhubung perkhidmatan disediakan di bawah portfolio saya termasuk mempromosi tema tertentu bagi mendidik rakyat,” katanya.

Sebelum ini, karnival 3W dilaksanakan di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Karnival itu juga menjelajah ke seluruh PBT, pada setiap bulan dengan tema berbeza berdasarkan sambutan hari penting, pada bulan terbabit.


Pengarang :