NASIONAL

Yayasan dari Thailand sumbang 250 kaki palsu percuma

GEORGE TOWN, 12 MEI: Kira-kira 250 warganegara Malaysia akan menerima kaki palsu percuma hasil sumbangan daripada sebuah yayasan dari Thailand, ‘The Prostheses Foundation’.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata yayasan yang diasaskan oleh mendiang Puteri Srinagarindra itu telah menyumbang lebih 1,000 buah kaki palsu kepada rakyat Malaysia sejak 2007.

“Pada tahun ini, ‘The Prostheses Foundation’ telah menghantar 88 sukarelawan ke Pulau Pinang yang terdiri daripada doktor, kakitangan perubatan dan pekerja mahir untuk menyediakan kaki palsu dalam satu minggu.

“Saya mengucapkan syabas kepada Yayasan Pertubuhan Pendidikan Akhlak Chee Hoon Khor kerana berjaya menganjurkan program seperti ini buat kali kelima sejak tahun 2007 dan menjadi rakan sekerja kepada ‘The Prostheses Foundation’,” katanya selepas merasmikan Program Prostesis Percuma, di sini hari ini.

Penerima kaki palsu yang hadir pada hari ini perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan sesi konsultasi untuk memastikan mereka mendapat kaki palsu yang terbaik.

Sebanyak 259 unit lagi kaki palsu akan dihasilkan pada minggu ini sebelum diserahkan kepada penerima pada Sabtu hadapan.

Sementara itu, Setiausaha Yayasan Pertubuhan Pendidikan Akhlak Chee Hoon Khor, Chong Yit Chuan berkata, pihaknya sedang berusaha mencari sukarelawan dari Malaysia untuk dihantar ke Thailand bagi mengikuti kursus anjuran ‘The Prostheses Foundation’ untuk memperbanyakkan jumlah individu mahir dalam bidang prostetik.

“Kita mengutamakan doktor atau kakitangan perubatan yang telah bersara kerana mereka tahu perkara-perkara asas dalam bidang itu. Ini kerana program ini hanya berlangsung dalam tempoh tiga tahun sekali.

“Sepanjang tempoh tiga tahun itu, kita tidak boleh mengharapkan sukarelawan dari Thailand untuk turun ke sini dan melakukan kerja-kerja ubah suai atau melakukan pelarasan pada kaki palsu pemakai. Kita memerlukan sukarelawan sendiri yang akan berpusat di yayasan ini,” katanya.

Individu yang berminat menyertai program itu boleh menghubungi 04-226 7248 untuk maklumat lanjut.

— BERNAMA

 


Pengarang :