SELANGOR

YIDE rai 544 anak yatim sempena Aidilfitri

OLEH NADIAH ZAMLUS

SABAK BERNAM, 18 MEI: Seramai 544 anak yatim di daerah ini diraikan dengan sumbangan Aidilfitri oleh Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) , di sini hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, sebanyak RM54,400 diperuntukKan bagi tujuan itu, dengan setiap seorang menerima RM100.

“Sumbangan ini bagi membantu anak yatim sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Kami berharap supaya anak-anak yang diraikan pada hari ini terus diberi rezeki melimpah ruah bukan sahaja di bulan Ramadan tetapi juga di bulan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Hari Raya kepada Anak Yatim Daerah Sabak Bernam di Masjid Taman Padu Permai, Sungai Besar, di sini.

Pada majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan sumbangan terbabit.

Hadir sama, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Orang Besar Daerah Sabak Bernam, Dato’ Baharin Mat Akhir; Timbalan Mufti Selangor, Dato’ Dr Anhar Opir; Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Mohd Faizul Fitri Muslil; Pegawai Tadbir Agama Sabak Bernam, Mohamad Nazri Sobirin dan Pemangku Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Nurhani Salwa Jamaluddin.

Pada masa sama, Nur Mohd Razali berkata, MAIS melalui Baitulmal memperuntukan geran tetap sebanyak RM500,000 bagi menyalurkan sumbangan kepada anak yatim di seluruh Selangor, tahun ini.

“Manakala baki selebihnya YIDE mendapatkan daripada syarikat berkaitan kerajaan di negeri ini.

“Setakat ini pihak kami sudah menyalurkan sumbangan ke dua daerah iaitu Klang dan Petaling, pada minggu lalu dan hari ini di Sabak Bernam,” katanya.

YIDE adalah organisasi penuh milik MAIS yang dipertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan anak yatim di seluruh Selangor.


Pengarang :