SELANGOR

YIDE terus komited bantu anak yatim

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 26 MEI: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) terus komited membantu anak yatim di Selangor melalui pelbagai sumbangan khususnya Aidilfitri.

Justeru, pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Mohd Razali Abdullah mahu syarikat swasta mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dapat terus menyumbang kepada YIDE dari masa ke masa.

“YIDE mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Baitulmal yang memperuntukan geran tetap RM500,000 bagi menyalurkan sumbangan kepada anak yatim pada tahun ini serta baki selebihnya daripada GLC negeri.

“YIDE amat berbesar hati supaya syarikat yang menyumbang ini dapat meneruskan lagi sumbangan untuk tahun berikutnya,” katanya.

Antara syarikat yang menyumbang ialah Central Sugars Refinery Sdn Bhd, SELGATE Corporation Sdn Bhd, KDEB Waste Management Sdn Bhd dan AftaCorp Sdn Bhd, Aiman Platanium Sdn Bhd, Selangor Industrial Corporation, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Perbendaharaan Negeri Selangor dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd serta Bakti Suci Holdings Sdn Bhd.

Nur Mohd Razali berkata, Kuala Langat adalah daerah yang terakhir bagi kembara Raja Muda Selangor bersama YIDE menyantuni anak yatim di kesemua daerah di negeri ini.

Terdahulu, DYTM Raja Muda berkenan menyampaikan sumbangan kepada 549 anak yatim di daerah itu berjumlah RM54,900, di Masjid Al-Firdaus, Sungai Rambai, di sini.

YIDE adalah organisasi penuh milik MAIS yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal kebajikan anak yatim di seluruh Selangor khususnya berkenaan sumbangan Aidilfitri.

Untuk tahun ini, sebanyak RM796,700 diperuntukkan untuk anak yatim di sembilan daerah, di negeri itu.

Jumlah itu membabitkan RM144,900 (Klang), RM129,600 (Petaling), Sabak Bernam (RM54,400), Kuala Selangor (RM81,000), Hulu Langat (RM120,100), Sepang (RM38,300) dan Gombak (RM110,000) serta Hulu Selangor (RM63,500).


Pengarang :