Foto Sumber: Arkib
NASIONAL

Zizie Izette didakawa bersubahat dengan Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Isteri kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Datin Seri Zizie Izette A. Samad, 41, yang memakai baju serba hitam, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya minta bicara,” kata pelakon itu yang pernah membintangi drama bersiri ‘Hero Seorang Cinderella’ dalam nada yang tenang sambil menggelengkan kepala.

Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Moktar Radin, 60, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 38 tahun.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, di mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5.00 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.

Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.18 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam, Datuk K.Kumaraendran, yang mewakili pelakon itu tidak membantah jumlah jaminan berkenaan.

Sementara itu, Umar Saifuddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa suami kepada tertuduh telah didakwa pagi ini di Mahkamah Sesyen berasingan.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya kes dihadapi tertuduh dipindahkan ke mahkamah sama (Mahkamah Sesyen 8) dengan kes suaminya agar dapat dibicarakan bersama,” katanya yang turut memaklumkan tiada sebarang bantahan daripada pihak peguam.

Kumarendran kemudian mengesahkan perkara itu.

Mahkamah kemudian membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 8 dan menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA


Pengarang :