SELANGOR

110 pelajar KUIS keracunan makanan

SERDANG, 19 JUN: Seramai 110 pelajar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dikejarkan ke Hospital Serdang selepas muntah dan sakit perut dipercayai mengalami keracunan makanan.

Menurut laporan BH Online yang memetik jurucakap KUIS, semua penuntut membabitkan 90 wanita dan 20 lelaki itu menjalani program orientasi bagi kemasukan peringkat diploma serta ijazah semester pertama di kolej universiti berkenaan.

“Hari ini hari keempat penuntut terbabit menjalani program orientasi yang dijadualkan berlangsung selama seminggu di KUIS.

“Selepas solat Maghrib tadi, ramai mengadu sakit perut dan mula muntah-muntah menyebabkan pengurusan KUIS mengambil keputusan membawa mereka ke Hospital Serdang sekitar 8.30 malam tadi,” katanya.

Kesemua pelajar itu dilaporkan menikmati makan malam nasi putih berlauk ayam masak kurma serta sayur sekitar 6.30 petang hingga 7 malam, yang dipercayai menjadi punca keracunan makanan.

Beliau berkata, KUIS mengambil tempahan penyediaan makanan dari luar kampus untuk minggu orientasi berlangsung.

Semua penuntut terbabit dibenarkan pulang ke kampus selepas menerima rawatan.


Pengarang :