NASIONAL

111 sekolah terjejas gangguan kesihatan di Pasir Gudang mula dibuka esok

 

JOHOR BAHRU, 29 Jun : Sesi persekolahan di kesemua 111 sekolah rendah dan menengah di Pasir Gudang yang ditutup sejak Selasa lepas, akibat gangguan pernafasan dan muntah-muntah dalam kalangan pelajar, akan dibuka semula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata namun begitu, pasukan petugas akan digerakkan ke sekolah-sekolah yang pernah terjejas untuk memberi sesi taklimat keselamatan dan pencegahan kepada pelajar.

“Sesi taklimat keselamatan dan pencegahan berkenaan akan diadakan pada perhimpunan pagi esok.

Semua agensi yang terlibat kini berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku kecemasan apabila sekolah-sekolah mula dibuka semula esok,” katanya kepada pemberita di Menara Aqabah, di sini hari ini.

Mohd Khuzzan berkata sesi pengajian yang turut bermula semula esok adalah melibatkan tiga institusi pengajian tinggi, 347 tadika swasta serta 14 sekolah swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Menurut Mohd Khuzzan, sehingga 12 tengah hari tadi, bacaan tahap kualiti udara di Pasir Gudang berada pada tahap normal dan pemantauan kualiti udara oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata setakat ini JAS sudah memeriksa 72 premis industri di sekitar Pasir Gudang dan mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, menerusi pemeriksaan berkenaan, JAS mengeluarkan 40 kompaun bagi kesalahan buangan terjadual, 10 kompaun berkaitan kesalahan efluen perindustrian, tiga notis arahan bagi penambahbaikan sistem pengendalian bahan kimia serta tiga perintah tahan operasi terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga 12 tengah hari tadi, tiada pesakit baharu dimasukkan ke dalam wad sejak Selasa lepas.

Katanya seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak Selasa lepas merupakan satu-satunya mangsa yang masih berada di wad hospital itu.

“Pelajar berkenaan kini dalam keadaan stabil dan dia mempunyai rekod penyakit asma,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri berterima kasih di atas komitmen Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) untuk menempatkan alat pengesan gas serta alat pengukur kualiti udara yang boleh membuat bacaan tepat dalam radius yang lebih meluas di Pasir Gudang dan merentasi persempadanan negara.

“Penempatan alat berkenaan merupakan langkah proaktif pengesanan awal kualiti udara dan kehadiran gas berbahaya yang terhasil bukan sahaja daripada kilang-kilang tetapi juga daripada luar kawasan Pasir Gudang,” katanya.

Mohd Khuzzan berkata orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat berhubung gangguan kesihatan itu boleh menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang di talian 07-2513444 atau Pusat Gerakan Operasi Negeri JBPM Negeri Johor di talian 07-3310860 atau Pusat Kawalan Operasi Bencana 07-2511 024. -BERNAMA


Pengarang :