NASIONAL

12 kawasan laksana projek rintis tangani dadah-AADK

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Sebanyak 12 kawasan di seluruh negara dipilih menjadi lokasi bagi projek rintis dalam menangani masalah dadah yang akan dilaksanakan pada 1 Julai depan, kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, projek rintis yang pertama kali diadakan itu akan dilaksanakan dengan pembabitan 10 kementerian dan 15 agensi kerajaan yang berkaitan dalam satu operasi bersepadu.

Katanya, melalui projek rintis itu semua jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan serta negeri akan melakukan kerjasama dan intervensi secara bersepadu.

“Bagi mengatasi masalah dadah ini, kita tidak boleh mengambil tindakan secara berasingan dan semua kementerian serta agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan perlu bekerjasama.

“Saya percaya projek ini akan berjaya dan akan dapat dijadikan panduan kepada kerajaan untuk menangani masalah berkaitan penyalahgunaan dadah ini,” katanya pada program Sinergi Syawal 2019 anjuran AADK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Dataran Kamara di Kampung Malaysia Raya, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, projek rintis yang dilaksanakan sehingga tahun depan itu seterusnya akan dinilai keberkesanannya sebelum model berkenaan digunakan di lokasi lain di seluruh negara.

Katanya, kawasan itu membabitkan Petaling, Sungai Besar dan Felda Gugusan Hulu Selangor, Selangor; Projek Perumahan Rakyat Sungai Bonus, Kuala Lumpur; Felda Keratong 3, Pahang; Kuala Dungun, Terengganu; Felda Lubuk Merbau, Kuala Kedah dan Langkawi di Kedah; Pengkalan Chepa, Kelantan serta Perling dan Parit Sulong di Johor.

Antara Jabatan dan agensi terbabit termasuk PDRM, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, serta Pihak Berkuasa Tempatan.

-BERNAMA

 


Pengarang :