NASIONAL

159 maut nahas jalan raya dalam sembilan hari Op Selamat

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Sebanyak 159 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh sembilan hari Op Selamat 15 sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Memberikan statistik bagi operasi itu untuk tempoh 29 Mei-6 Jun, Ketua Komunikasi Korporat Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad berkata, op itu menyaksikan 14,793 kemalangan melibatkan 20,903 kenderaan di seluruh negara. Ia berlangsung sehingga 12 Jun ini.

“Selangor merekodkan jumlah kematian paling tinggi iaitu 26, diikuti Johor (24), Kedah (16) dan Perak (15),” katanya mengenai operasi itu yang dilancarkan pada 29 Mei lepas.

Asmawati berkata, 2,610 operasi dilaksanakan di seluruh negara dengan 197,541 saman dikeluarkan dalam tempoh berkenaan.

Operasi itu memberi tumpuan kepada enam kesalahan iaitu memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Sementara itu, 380 kes pecah rumah dan premis direkodkan sehingga semalam, katanya. – BERNAMA


Pengarang :