NASIONAL

20 hingga 30 peratus KRT, SRS seluruh negara tidak aktif

BACHOK, 22 JUN: Kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada 8,400 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) tidak aktif selepas perubahan tampuk kepimpinan negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik berkata berikutan itu, kerajaan akan mengenal pasti punca sebenar masalah berkenaan berlaku.

“Tinjauan oleh pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mendapati ada KRT yang akftif, medium aktif dan tidak aktif.

“Justeru, kami di peringkat kementerian telah mengambil pendekatan membuat jelajah dari negeri ke negeri untuk memberi kefahaman bahawa dasar penubuhan KRT dan SRS masih diteruskan walaupun berlaku perubahan dalam kerajaan Persekutuan,” katanya selepas merasmikan Majlis Jalinan Kasih dan Sambutan Aidilfitri di sini, hari ini.

Md Farid berkata KRT dan SRS yang ditubuhkan sejak 40 tahun lepas adalah instrumen paling penting bagi JPNIN untuk mencapai matlamat utama kerajaan menyatupadukan masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau berkata kementeriannya masih berusaha untuk mendapatkan dana mencukupi daripada kerajaan untuk membantu KRT dari segi bantuan kewangan.

Katanya KRT dan SRS juga perlu mengadakan kerjasama erat dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). – BERNAMA


Pengarang :