NASIONAL

207 kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh 12 hari

KUALA LUMPUR, 10 Jun : Sebanyak 207 kematian kemalangan jalan raya direkodkan dalam tempoh 12 hari Op Selamat 15 sempena musim perayaan Aidilfitri sejak ia dilancarkan pada 29 Mei lepas.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata jumlah itu menunjukkan Selangor dan Johor masing-masing merekodkan empat kematian dan antara penyumbang kepada 18 kes kematian semalam.

Pahang semalam merekodkan tiga kematian manakala Sabah dengan dua kematian. Perlis, Perak, Melaka, Terengganu dan Kelantan masing-masing satu angka kematian, katanya.

Jumlah kemalangan dicatatkan sehingga 9 Jun ialah 19,515 dengan pertambahan 1,462 lagi kes.

“Op Selamat yang akan berakhir tiga hari lagi juga menunjukkan Selangor selaku penyumbang terbesar angka kemalangan dengan 5,008 kes, diikuti Johor dengan 3,046 kes, Kuala Lumpur dengan 2,236 kes sementara Perak dengan 1,676 kes,” kata Asmawati.

Pihak polis juga merekodkan sebanyak 573 kes pecah rumah dan premis dengan Selangor mempunyai rekod paling tinggi iaitu 142 kes, katanya. -BERNAMA


Pengarang :