NASIONAL

29 mangsa dirawat akibat sesak nafas di Johor Baharu

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 JUN: Seramai 29 mangsa terpaksa menerima rawatan selepas mengalami gejala sesak nafas di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah yang direkodkan sehingga 10 pagi tadi terdiri daripada 21 perempuan dan lapan lelaki.

Katanya, 16 daripada mereka adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu 14 pelajar dan dua dewasa, manakala 13 lagi dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang dengan empat daripadanya adalah pelajar.

“Daripada jumlah itu, seramai 14 mangsa dirawat sebagai pesakit luar, 15 mangsa diberi rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sementara enam daripadanya dimasukkan ke wad.

“Sehigga kini, keadaan kesemua pesakit adalah stabil, tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi serta tiada kematian dicatatkan,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata, Jabatan Kesihatan Johor masih melakukan pemantauan di lokasi kejadian kerana punca kejadian masih belum dikenalpasti.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

“Klinik Kesihatan Pasir Gudang turut dibuka pagi ini bagi menerima dan merawat lain-lain mangsa yang mungkin terkesan susulan kejadian itu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam, dilaporkan seramai 15 murid Sekolah Agama Taman Mawar mengalami gejala sesak nafas dan muntah dengan lima daripada mereka dihantar ke hospital petang ini, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian berlaku kira-kira tujuh kilometer dari Sungai Kim Kim yang dicemari toksik, pada Mac lalu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Ibrahim Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.39 petang dan sebuah jentera dengan tiga anggota dihantar ke lokasi kejadian sebagai tindak balas pertama.

Sungai Kim Kim yang dicemari toksik pada 7 Mac lalu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang, dekat sini, diarahkan ditutup sementara.

Sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai berkenaan juga terpaksa dikumpul sebelum dilupuskan kontraktor yang dilantik kerajaan.


Pengarang :