NASIONAL

35 kematian,14,193 saman hari kedua Op Selamat 15

 

KUALA LUMPUR, 31 Mei : Sebanyak 35 kematian direkodkan dan 14,193 saman dikeluarkan dalam tempoh dua hari Op Selamat 15/2019 sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, sejak dilancarkan Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata kebanyakan saman dikeluarkan melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju.

“Sikap pemanduan tidak berhemah dipercayai antara punca berlakunya kemalangan maut, namun siasatan lanjut masih dilakukan.

“Matlamat sekarang adalah kurangkan kadar kemalangan maut dan polis tidak mahu trend kemalangan ini berterusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama pegawai dan anggota trafik di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kinrara di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber) JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain.

Beliau berkata pihaknya juga menempatkan kamera perangkap had laju di beberapa lokasi strategik di semua lebuh raya di seluruh negara.

“Fokus utama adalah untuk mendidik supaya pemandu mematuhi peraturan jalan raya, pihak polis bukannya ingin menghukum pemandu. Pemandu yang melakukan kesalahan dalam tempoh Op Selamat ini akan dikenakan saman RM300 tanpa diskaun,” katanya.

Sementara itu, Azisman berkata menerusi Op Selamat kali ini, pihaknya menetapkan tiada lorong kecemasan dibuka untuk kenderaan awam.

“Pengguna jalan raya diingatkan untuk tidak menggunakan lorong kecemasan walau apa jua keadaan. Jika berlaku kesesakan luar biasa, pihak polis trafik mempunyai pendekatan tertentu yang boleh digunakan untuk menentukan kelancaran trafik,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata polis memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15/2019 bermula Rabu lepas sehingga 12 Jun depan.

Enam kesalahan itu adalah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat. -BERNAMA


Pengarang :