NASIONAL

44,832 barang tiruan disita penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur mengendalikan 47 kes yang berkaitan penjualan barangan berjenama tiruan di bandaraya dalam tempoh antara Januari dan Mei lepas, melibatkan sitaan 44,832 unit barangan yang nilainya dianggar berjumlah lebih RM1.6 juta.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, jumlah sitaan barangan itu mencatatkan peningkatan hampir 35 peratus tahun ini berbanding hanya 33,280 unit bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Nilainya pula meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding tahun lepas yang mencatatkan jumlah hanya RM562,340, namun dari segi jumlah kes, kami berjaya mengendali 75 kes sepanjang tempoh itu tahun lepas,” katanya kepada Bernama di pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur, di sini baru-baru ini.

“Ini menunjukkan keberkesanan KPDNHEP Kuala Lumpur membanteras kegiatan menjual barangan tiruan ini dan berjaya meningkatkan kadar usaha membanterasnya pada skala lebih besar meskipun jumlah kes berkurangan tahun ini,” tambahnya.

Beliau berkata pihaknya pasti tidak akan mencapai kejayaan dengan nilai sitaan yang besar sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada pemilik cap dagang tulen yang banyak menyalurkan maklumat dan hasil risikan bersama.

Azeem berkata antara barangan tiruan disita adalah beg, kasut dan baju tiruan berjenama antarabangsa.

“Bagi tahun 2018, barangan paling banyak disita penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur ialah barang tiruan jenis aksesori seperti jam tangan jenama mewah bernilai lebih RM250,000. Untuk tahun ini, barang tiruan seperti barangan kulit iaitu beg tangan paling banyak disita dengan nilai menjangkau RM529,600,” katanya.

Beliau berkata ada antara para peniaga ini menjual barangan tiruan secara runcit di premis masing-masing, dan ada juga yang menjualnya secara borong.

“Kita percaya kesemua barangan tiruan yang disita yang ini diperoleh dari luar negara. Semua kes melibatkan yang barangan tiruan ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :