BERITA UTAMASELANGOR

500 unit rumah Idaman Cahaya untuk peneroka, anak Felda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Negeri menyediakan kouta sebanyak 500 unit rumah mampu milik Idaman Cahaya untuk golongan peneroka dan anak peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebanyak 100 unit lagi akan diserahkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Perumahan Idaman Cahaya ini dijalankan dengan kerjasama Encorp Berhad yang sebahagiannya dimiliki Felda dan kita siapkan 500 unit khas untuk peneroka dan anak mereka.

“Manakala 100 unit lagi diserahkan kepada LPHS untuk program Smart Sewa dan DanaSel di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Must Ehsan Development Sdn Bhd bersama Konsortium PNSB-MGB dan Majlis Idaman Warisan serta Majlis Silaturahmi Aidilfitri 2019 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Amirudin berkata, projek usahasama ini membabitkan projek pembinaan sebanyak 1,800 unit rumah Idaman Cahaya.

Katanya, rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi ini memiliki tiga bilik dan dua bilik air.

Lebih menarik lagi, rumah Idaman Cahaya ini turut dilengkapi televisyen, peti ais, almari, penghawa dingin di semua bilik dan pemanas air.

Katanya, projek ini mampu membantu golongan B40 memiliki rumah sendiri.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :