PBTSELANGOR

5,000 hadirin meriahkan rumah terbuka MPK

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

KLANG, 20 JUN: Hampir 5,000 tetamu hadir di Majlis Mesra Aidilfitri Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang berlangsung di Taman Pengkalan Batu, Kawasan 1 Klang, di sini, hari ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, majlis berkenaan diadakan bertujuan bagi meraikan penduduk di sekitar Klang dan disertai petugas MPK bersama Ahli Majlis.

“Selain jamuan Aidilfitri, kita juga mempromosikan tempat ini kerana suasana di sekeliling tepi sungai sangat cantik dan bersih serta keadaan angin yang dingin.

“Saya berbangga kerana berjaya menubuhkan satu pasukan yang serasi dan amat mantap dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya ketika ditemui media dalam majlis berkenaan, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Pada masa sama, beliau berkata, seramai 100 fakir dan miskin menerima sumbangan hari raya disampaikan Abdul Rashid yang juga ADN Selat Klang.

Lebih mengujakan, vokalis kumpulan Screen, Jimmy dan Haziq AF turut menyerikan majlis dengan persembahan mereka.

Dalam majlis berkenaan, pelbagai juadah tradisi disediakan antaranya rendang daging, daging masak hitam, lemang, cendol, sate dan kuih-muih.

FOTO: RAHEEMIE ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :