NASIONAL

56 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah

KOTA KINABALU, 23 JUN: Seramai 56 individu ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah dalam op sarang yang dijalankan selama seminggu bermula 15 Jun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata, operasi itu dijalankan di beberapa kawasan antaranya di Kampung Air dan Sinsuran, Kampung Menggorok dan Suang Parai di Manggatal, Kampung Cenderakasih di Likas dan Kampung Warisan Inanam.

Katanya, semua yang ditahan itu berumur antara 14 hingga 60 tahun dan daripada jumlah tangkapan itu, 16 individu adalah warga asing.

“Sebanyak 15.49 gram dadah jenis syabu dan 193.32 gram ganja berjaya dirampas dianggarkan bernilai lebih RM10,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam op bersepadu yang dijalankan selama lima jam bermula 9 malam pada Jumaat lalu berjaya menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) di lapan lokasi di sini.

Habibi berkata, tangkapan itu dibuat hasil daripada pemeriksaan terhadap 49 individu.

Beliau berkata, mereka yang ditahan itu berumur antara 14 hingga 52 tahun, disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :