GLOBAL

65 Rohingnya terkandas di Satun mangsa pemerdagangan manusia

SATUN, 19 JUN: Pihak berkuasa Thailand mengesahkan kesemua 65 etnik Rohingya yang terkandas di Pulau Rawi di perairan Satun, selatan Thailand pada 11 Jun lalu adalah mangsa pemerdagangan manusia.

Jurucakap polis berkata, semua mangsa – 31 wanita, 29 lelaki dan lima kanak-kanak di atas bot yang terkandas itu dipindahkan ke Pusat Perlindungan dan Pembangunan Kraftangan Surat Thani dan Pusat Perlindungan Pemerdagangan Manusia, Songkhla.

“Setelah pemeriksaan secara terperinci, pihak polis mengenal pasti semua mereka atas bot tersebut merupakan mangsa pemerdagangan manusia.

“Mereka kini di bawah jagaan Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Keamanan Manusia Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Keamanan Manusia, Thailand,” katanya.

Sebelum ini, Polis Thai menahan enam lelaki iaitu juragan dan kru bot nelayan itu.

Media tempatan melaporkan jurugan bot itu, seorang warga Thailand, mendakwa dia dibayar upah 100,000 Baht oleh seorang warga Myanmar untuk membawa kumpulan itu ke Malaysia. Pihak berkuasa telah mengenakan pertuduhan awal terhadapnya kerana membawa masuk pendatang asing ke negara ini.

Rohingya adalah kumpulan minoriti Muslim di Myanmar yang terpaksa meninggalkan kampung halaman berikutan penindasan ke atas mereka dan mendapatkan perlindungan di kem sementara di sempadan susulan serangan ke atas etnik itu pada 2017.

Isu pelarian Rohingya adalah antara isu yang dijangka akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak Asean Ke-34 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Thailand bermula 20 hingga 23 Jun.

– BERNAMA


Pengarang :