BERITA UTAMASELANGOR

7,000 kg daging lembu segar di Dataran Shah Alam, mulai esok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 JUN: Mulai esok, orang ramai boleh mendapatkan daging lembu segar yang ditawar dengan harga RM29.50 sekilogram pada Program Mantai Perdana Shah Alam Aidilfitri 2019 yang bakal dianjur di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebanyak 7,000 kilogram daging lembu segar disediakan di program yang diadakan itu.

Katanya, jualan amal itu berlangsung selama 24 jam bermula 12 tengah hari Isnin dan berakhir pada jam 12 tengah hari keesokan harinya.

“Sempena Aidilfitri yang bakal menjelma, Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri Selangor akan menganjurkan program Jualan Amal 7,000 kilogram daging lembu segar.

“Baucer sebanyak RM2 akan diberi kepada pembeli yang membawa bekas sendiri untuk membeli tulang, limpa, hati, perut dan paru,” katanya menerusi status yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Pada masa sama, katanya, seorang pembeli dihadkan pembelian tiga kilogram daging bagi setiap seorang.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung 014 212 5409 (Hamnah), 011 2722 4764 (Sarah) dan 017 418 5525 (Ain).

 


Pengarang :