SELANGOR

8 individu harumkan nama negeri terima insentif

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JUN: Sebanyak RM31,000 insentif disumbangkan kepada lapan individu yang pernah mengharumkan nama Selangor di persada antarabangsa.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Azlinda Azman berkata, penerima adalah mereka yang terbabit dalam tilawah, hafazan, guru pembimbing dan qariah.

Katanya, sumbangan itu diperuntukkan oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.

“Insentif ini untuk mereka yang berjaya menaikkan nama Selangor dalam pertandingan tilawah al-Quran peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Agensi Agama Islam Selangor di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini hari ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Pada majlis itu, Amirudin turut menyampaikan insentif kepada qariah Selangor, Nor Faizah Panut yang menerima RM5,000 manakala Nor Farhatul Fairuzah Panut menerima RM4,000.

Selain itu, insentif untuk peserta hafazan pula diberikan kepada Johan Kebangsaan Tahap satu, Muhammad Al Nawawi Borhan dan Ummi Najdah Abd Samad masing-masing menerima RM5,000; Johan Kebangsaan Tahap dua, Ahmad Adil Luqman Nor Ismail (RM5,000) dan Naib Johan Kebangsaan Tahap tiga, Siti Hajar Nabilah Mohd Darha, (RM3,000).

Manakala, insentif untuk guru pembimbing pula diberikan kepada Mohammad Rozie Mohd Rejab dan Sazali Yacob yang menerima RM2,000.

 


Pengarang :