NASIONAL

A. Rahman Hassan meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Penyanyi era 1960-an, Datuk A. Rahman Hassan, 73, meninggal dunia di Hospital Ampang di sini, tengah malam tadi, akibat komplikasi paru-paru berair.

Katanya, Siti Jasmina Ibrahim (isteri kepada Khir Rahman) berkata bapa mentuanya meninggal dunia pada 12.40 tengah malam.

“Assalammualaikum, bapa mentua saya Datuk A. Rahman Hassan telah kembali ke Rahmatullah pada jam 12.40 pagi tadi (Khamis) di Hospital Ampang.

“Abah (A. Rahman) pergi dengan tenang…Alhamdulillah, semua dipermudahkan…semoga rohnya dalam kasih sayang Allah, al-Fatihah,” katanya menerusi catatan di akaun Facebooknya.

Sementara itu, di akaun Instagram rasmi Persatuan Seniman Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga A. Rahman dan mendoakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan di syurga.

Melalui catatan persatuan berkenaan, arwah meninggal dunia kerana komplikasi paru-paru berair.

Allahyarham yang juga vokalis kumpulan Orkes Nirwana yang popular dengan lagu ‘Tak Mengapa’ akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat di sini, selepas solat Zuhur, hari ini.

Pada Isnin lalu, Allahyarham yang terkenal dengan dendangan lagu berentak pop yeh yeh, dikejarkan ke hospital selepas pitam di sebuah stesen minyak di Ampang sebelum dihantar ke Hospital Ampang menaiki ambulans.

-BERNAMA


Pengarang :