BERITA UTAMANASIONAL

AADK lantik artis jadi ikon antidadah

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 21 JUN: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bekerjasama dengan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) untuk memerangi masalah berkaitan dadah dalam kalangan belia.

Ketua Pengarah AADK, Dato’ Seri Zulkifli Abdullah berkata, isu penyalahgunaan dadah adalah masalah dunia yang menuntut usaha berterusan dan lebih bersungguh-sungguh untuk menyelesaikannya.

Katanya, kerjasama itu signifikan kerana Seniman mempunyai 6,450 ahli terdiri daripada penyanyi, pelawak dan pelakon.

“Apa yang penting, mereka mempunyai peminat (followers) ramai dan ada yang mencapai jutaan orang mengikuti mereka di media sosial.

“Sudah tentu ramai dalam kalangan peminat dan pengikut ini terdiri daripada generasi muda yang perlu kita bimbing supaya tidak mudah terjebak dengan gejala dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama AADK, Kementerian Dalam Negeri bersama Persatuan SENIMAN, di Ibu Pejabat AADK di sini.

Hadir sama, Setiausaha Agong SENIMAN, LT. (K) Mohd Hafiz Bin Mohd Nafiah dan Pengerusi Biro Pendidikan dan Penajaan SENIMAN, Kapten Bersekutu (PA) Zuraini Kassim.

Pada majlis itu, lapan individu dan satu kumpulan artis turut dilantik menjadi ikon antidadah antaranya Tomok, Black, Achey Bocey, Keena Mentor, Aiman Tino, Izzmad Harun, Ismail Izzani, Fatin Afeefa dan Kumpulan Flooe 88.

Berhubung pelantikan itu, Zulkifli berkata, ikon berkenaan akan diberi latihan dan modul untuk mereka ke hadapan dengan pengetahuan lengkap berhubung gejala itu.

“Kita juga akan buat lagu dan klip video yang membawa mesej untuk dikongsi kepada golongan sasar.

“Selain artis, AADK juga akan melantik Imam Muda untuk menjadi ikon antidadah seperti ini,” katanya.


Pengarang :