AADK sasar sifar pemandu bas ekspres terlibat dadah | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Aishah Amin

AADK sasar sifar pemandu bas ekspres terlibat dadah

 

KUALA LUMPUR, 1 Jun : Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan sifar penglibatan pemandu bas ekspres dengan penyalahgunaan dadah terutama pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Datuk Izhar Abu Talib berkata berdasarkan rekod, penglibatan pemandu bas dengan penyalahgunaan dadah menunjukkan trend penurunan sejak lima tahun lepas.


Menurutnya, seramai 3,227 pemandu bas menjalani ujian saringan urin pada operasi bersepadu sempena sambutan Aidilfitri tahun lalu dan hanya 15 orang daripadanya positif dadah.

“Kami harap tahun ini kami akan dapat mencapai matlamat untuk mengurangkan atau sifar pemandu yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah.

“Kemalangan yang berpunca daripada pemandu bas di bawah pengaruh dadah ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan penumpang tetapi juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Izhar berkata dadah jenis methamphetamine seperti syabu sering menjadi pilihan kerana kesan penggunaannya yang dapat meningkatkan tenaga selain mudah didapati dengan harga berpatutan.

Beliau berkata antara faktor yang menyebabkan pemandu bas terbabit dengan dadah ialah persekitaran pekerjaan, pengaruh rakan sekerja yang menagih, tekanan kerja dan sejarah penagihan lampau.

“Walaupun mereka menggunakan alasan sekadar mahu menambahkan tenaga dan menghilangkan rasa mengantuk agar dapat mengejar perjalanan bas yang berganda tetapi amalan itu merupakan perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata AADK menjalankan operasi bersepadu setiap tahun dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaksanakan seminggu sebelum sambutan Aidilfitri di lebih 30 hentian bas utama di seluruh negara. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next