NASIONAL

Abdul Malik Abul Kassim pengerusi baharu LPNM

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 JUN: Datuk Abdul Malik Abul Kassim dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang baharu berkuatkuasa 1 Jun yang lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pemilihan itu dibuat setelah mengambil kira semua faktor termasuk pengalaman yang dimiliki oleh Abdul Malik yang pernah menggalas jawatan sebagai EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung sebelum ini.

“Saya yakin dengan kemampuan beliau untuk menerajui LPNM dan seterusnya dapat menjadikan LPNM sebuah organisasi yang terus ke hadapan dan memainkan peranan untuk memajukan industri nanas negara yang kian berkembang pesat dan kini menjadi salah satu tanaman penting dalam negara,” katanya.

Perlantikan Abdul Malik dibuat selaras dengan kuasa yang diberikan dibawah Seksyen 3(2)(a) Akta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia 1957 (Akta 427).

Jawatan Pengerusi LPNM sebelum ini disandang oleh ADUN Semarang Johor, Datuk Samsolbari Jamali yang telah berkhidmat dari Julai 2013 hingga Jun 2018.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan pula bertindak sebagai Pengerusi sementara dari Ogos 2018 hingga Mei 2019.

Salahuddin berkata, LPNM perlu terus komited dan mengambil peluang serta potensi yang terbuka luas dalam industri nanas yang mendapat permintaan tinggi terutamanya untuk pasaran eksport sekaligus dapat memberikan pendapatan yang lumayan kepada pekebun dan pengusaha terlibat.


Pengarang :