BERITA UTAMASELANGOR

ADN: Amirudin pemimpin muda berwawasan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 JUN : Berwawasan dan sentiasa fokus dalam menjadikan Selangor lebih berdaya antara sifat Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang seharusnya dipuji, kata Rodziah Ismail.

EXCO Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi berkata, beliau berasa amat bertuah kerana dapat bersama dalam pentadbiran Amirudin selama setahun ini.

“Saya rasa bertuah kerana dapat bersama-sama beliau dalam tempoh setahun malahan, corak kepimpinan beliau sedikit berlainan kerana Amirudin antara Dato’ Menteri Besar yang muda tetapi wawasan dan fokus untuk memajukan rakyatnya dalam kapasiti serta kebolehan masing-masing.

“Sebab itu beberapa keputusan berani dilaksanakan seperti mensejajarkan semula Inisiatif Peduli Rakyat. Saya nampak beliau berani mengambil risiko dan ia menjadi model kepimpinan yang perlu diberi sokongan dan dokongan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, Menteri Besar berusia 39 tahun itu berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif baharu seperti usaha melaksanakan Mesyuarat EXCO di setiap daerah.

“Saya rasa ia cukup baik untuk rakyat kerana EXCO bukan sekadar duduk di ibu negeri tetapi harus turun padang melihat apakah pembangunan yang diperlukan atau signifikan.

“Ini satu inisiatif baik. Saya yakin dengan kepimpinan beliau kita dapat teruskan kejayaan negeri ini,” katanya.

Manakala, Ketua pembangkang Selangor merangkap ADN Sungai Air Tawar, Rizam Ismail pula menyifatkan ADN Sungai Tua itu sebagai pemimpin muda berkarisma, boleh berbahas serta berhujah dengan baik.

Katanya, Amirudin perlu menjadi pemimpin yang dilihat dinamik dalam menyantuni masyarakat.

Bagaimanapun Rizam berkata, masih terlalu awal untuk menilai Dato’ Menteri Besar berikutan ia sepatutnya dinilai pada hujung tahun berpandukan belanjawan dibentangkan Amirudin tahun lalu.

“Dato’ Menteri Besar menyentuh aspek yang agak menyeluruh tetapi pada masa sama, pendapatan Kerajaan Negeri menguncup daripada RM3 bilion hanya tinggal kepada RM2.65 bilion.

“Sudah pasti dengan keadaan kekangan bajet yang menguncup dan bajet belanjawan yang dilihat disentuh begitu luas, saya takut ada kekangan dalam melaksanakan apa yang beliau nyatakan,” katanya.

Terdahulu, pada 19 Jun lalu, Amirudin genap setahun menggalas tugas sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor ke-16, susulan kemenangan luar biasa Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Beliau mengantikan tempat bekas Menteri Besar sebelumnya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang terpaksa melepaskan jawatan itu apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memerlukan khidmat beliau menggalas tugas lebih besar di peringkat persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

 

 


Pengarang :