SELANGOR

ADN bantah pelaksanaan caj bayaran parkir

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 JUN : Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli membantah pengumuman yang diumumkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pada 3 Jun lalu berhubung caj bayaran tempat letak kereta di daerah terbabit.

Juwairiya dalam kenyataan berkata, beliau berasa amat dukacita dan kecewa dengan pengumuman caj yang akan berkuatkuasa mulai 1 Julai nanti membabitkan 6,090 tempat letak kereta sekitar daerah itu.

Katanya, pelaksanaan kali pertama dengan kadar yang tinggi iaitu 50 sen sejam dilihat kurang wajar memandangkan latarbelakang sosioekonomi masyarakat di daerah itu masih ditahap rendah dan sederhana.

“Malah, kebanyakan masyarakat di sini masing-masing terdiri daripada nelayan, petani, buruh kampung, pekerja kilang dan kakitangan awam.

“MDKS masih belum dinaiktaraf kepada perbandaran seperti Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang kerana. Oleh itu, saya membantah tindakan MDKS mengenakan caj bayaran tempat letak kereta seawal ini, dan pada kadar tersebut.

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak Yang DiPertua MDKS pada minggu hadapan bagi membincangkan pertimbangan untuk menangguhkan pelaksanaan caj bayaran ini serta kadar yang berpatutan diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Pengarang :