SELANGOR

ADN – Tangguh caj parkir hingga status dinaik taraf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 JUN: Penguatkuasaan caj parkir kenderaan berbayar di daerah Kuala Selangor wajar ditangguhkan sehingga Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, beliau tidak bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit yang melaksanakan caj parkir kenderaan berkenaan.

“Saya tidak bersetuju buat masa ini kerana kawasan yang dicadangkan oleh MDKS adalah bukan kawasan komersial.

“Di bandar Puncak Alam setakat ini tidak mempunyai kemudahan yang lengkap seperti balas polis, balai bomba, institusi perbankan (Maybank/CIMB/RHB) dan pejabat kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 3 Jun lalu, SelangorKini melaporkan pelaksanaan caj bayaran parkir kereta membabitkan jumlah keseluruhan 6,090 tapak di Kuala Selangor, Tanjong Karang, Bestari Jaya, Puncak Alam dan Saujana Utama.

Difahamkan, kadar bayaran dikenakan adalah 50 sen sejam bermula 8 pagi hingga 6.30 petang (Isnin hingga Jumaat), kecuali pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkhidmatan penguatkuasaan MDKS belum mampu melaksanakannya berikutan merujuk prestasi penguatkuasaan PBT itu yang lemah.

“Pendapatan penduduk masyarakat di daerah Kuala Selangor masih sederhana dan masih dalam proses pembangunan sosio ekonomi,” katanya.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri turut menyuarakan bantahan terhadap tindakan MDKS yang mengeluarkan notis makluman mengenakan caj bayaran tempat letak kereta di daerah itu bermula 1 Julai ini.

Tindakan itu dilihat tidak bertepatan dengan waktu memandangkan ia berlaku ketika masyarakat setempat sedang dihimpit dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi.

 


Pengarang :