NASIONAL

Aduan WhatsApp: JPJ keluar lebih 200 notis

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Lebih 200 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hasil aduan pengguna menerusi aplikasi Whatsapp dalam tempoh tiga hari operasi penguatkuasaan perayaan Hari Raya Adilfitri (HRA) yang bermula 29 Mei lepas.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata antara kesalahan yang kerap dilaporkan sehingga Jumaat lepas adalah memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan bas yang menggunakan laluan kanan secara berterusan.

Menurutnya, JPJ mewujudkan sekretariat aduan yang beroperasi 16 jam iaitu 8 pagi sehingga 12 malam sepanjang tempoh operasi kecuali pada sambutan perayaan pada 5 dan 6 Jun ini.

“Aduan ini diwujudkan bagi memastikan tindakan diambil terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan di musim perayaan dan aduan tersebut hendaklah tepat dengan maklumat yang lengkap bagi memudahkan tindakan.

“Pada operasi lepas, JPJ telah menerima 288 aduan tidak lengkap dari orang ramai,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemeriksaan bas sewaktu operasi penguatkuasaan perayaan Hari Raya Adilfitri di Terminal Bersepadu Selatan di sini hari ini.

Beliau menegaskan pemandu tidak dibenarkan untuk mengunakan telefon bimbit namun penumpang boleh mengambil gambar atau video pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan dan menyalurkan maklumat berkenaan menerusi aplikasi Whatsapp di talian 013-4498997.

Sementara itu, dalam operasi HRA tersebut, tiga pemandu bas di Pulau Pinang, Perak dan Selangor dikesan positif dadah jenis ganja dan methamphetamine ketika pemeriksaan di terminal bas di tiga negeri itu.

Shaharuddin berkata susulan itu syarikat pengendali bas perlu menggantikan pemandu sebelum meneruskan perjalanan.

“Operasi pemeriksaan terhadap pemandu bas ini akan berterusan sehingga 16 Jun bagi memastikan perjalanan penumpang selamat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 21,948 notis saman dikeluarkan dalam tempoh lima hari operasi HRA dilaksanakan sejak 29 Mei dengan 34,595 buah kenderaan diperiksa.

Beliau berkata walaupun kadar pematuhan pengguna jalan raya meningkat namun kesedaran pemandu terutamanya pemandu bas masih berkurangan.

Menurutnya perkara tersebut dapat dilihat apabila masih ada pemandu bas yang melakukan kesalahan ketika JPJ menempatkan pegawainya di dalam 87 bas untuk tujuan penyamaran.

“Notis telah dikeluarkan terhadap pemandu ini dan kesalahan yang kerap dilakukan adalah memandu di lorong kanan secara berterusan, menggunakan telefon bimbit dan tatakelakuan tidak baik.

“Pegawai mengeluarkan notis selepas selamat tiba di terminal bas dan ada bukti kukuh menunjukkan kesalahan pemandu itu, ” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan kelancaran perjalanan pada musim perayaan ini, JPJ melaksanakan tempoh larangan pemanduan bagi kenderaan barangan iaitu pada 1 hingga 3 Jun dan 8 hingga 9 Jun. – BERNAMA


Pengarang :