EKONOMI

Aerodyne jangka industri dron tempatan berkembang 30 peratus

 

CYBERJAYA, 17 Jun : Aerodyne Group mengunjurkan industri dron Malaysia akan berkembang sekurang-kurangnya 30 peratus tahun ini daripada US$500 juta pada 2018 berdasarkan penerimaan positif dan peningkatan minat pasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kamarul A Muhamed berkata prospek pertumbuhan pasaran dron di Malaysia amat memberangsangkan berikutan orang ramai perlukan lebih banyak masa untuk benar-benar memahami manfaat teknologi dron dan bagaimana ia memberi impak terhadap kehidupan harian dan rutin perniagaan mereka.

“Pada 2018, kami menganggarkan kira-kira US$500 juta dalam nilai perniagaan, dan 10 tahun dari sekarang kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) akan lebih 50 peratus. Jadi dalam beberapa tahun lagi ia akan menjadi beberapa bilion dolar bagi nilai berpotensi boleh diwujudkan di Malaysia,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan MyDrone X di sini, hari ini.

Memberikan contoh, beliau berkata dron digunakan dalam pertanian telah berkembang 2,000 peratus berbanding tiga tahun lepas.

“Ia merupakan pertumbuhan yang ,menakjubkan. Di masa lepas kami masih di peringkat menguji teknologi ini, dan kini saya menyaksikan beberapa pihak dalam industri ini telah mengambil langkah untuk pergi lebih jauh daripada sekadar mengujinya dan menyediakan penyelesaian sebenar yang merupakan inovasi terhadap perniagaan mereka,”katanya.

Berhubung kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan privasi, Kamarul berkata orang ramai sebelum ini sering berasa takut dengan perkara yang mereka tidak faham.

“Tetapi dalam operasi komersial ia sebenarnya amat selamat dan juga merupakan teknologi inovasi,’’ katanya.

Aerodyne, syarikat tempatan yang mempunyai 25 pejabat di peringkat global, merupakan satu daripada lima pakar dron terkemuka dunia. Dron dipacu kecerdasan buatan keluaran syarikat itu turut dilengkapi penyelesaian Objek Rangkaian Internet (IoT). -BERNAMA


Pengarang :