Selangorkini
ABU DHABI, 12 Jun — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Timbalan Perdana Menteri UAE dan Menteri Dalam Negeri Saif bin Zayed Al Nahyan berbual setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, Terminal Presidential sempena lawatan kerja di sini. Turut berangkat Tengku Amir Nasser Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan). –f otoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Agong harap lawatan ke UAE rintis laluan pertingkat peluang ekonomi

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap lawatan khas tiga hari baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berakhir Jumaat lepas, akan merintis laluan ke arah kerjasama ekonomi yang lebih baik antara Malaysia dan negara Teluk Arab itu.

Dalam kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Sultan Abdullah gembira dengan hasil lawatan itu dan menzahirkan perasaan itu semasa menerima menghadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam.

Seri Paduka turut berkongsi butiran perbincangan baginda dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang memberi tumpuan kepada beberapa isu, termasuk langkah untuk terus mempertingkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“UAE merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Timur Tengah. Justeru, beta berharap lawatan khas ke UAE ini akan menghasilkan penerokaan potensi peluang ekonomi antara kedua-dua negara, merintis laluan ke arah kerjasama dan pelaburan di masa depan.

“Pertemuan dengan Menteri membantu dalam memastikan peluang ini menjadi kenyataan kerana beliau dan rakan sejawatannya akan dapat membawa perkara ini ke peringkat seterusnya dalam memperkembangkan potensi usahasama dua hala,” titah Seri Paduka.

Majlis menghadap oleh Azmin menandakan pertemuan rasmi pertama antara Sultan Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi untuk membincangkan perkara berkaitan ekonomi negara.

Sultan Abdullah juga dijadual menerima menghadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini.

“Beta gembira kerana dapat berkomunikasi dengan Menteri berhubung lawatan beta ke UAE yang sangat produktif,” titah Seri Paduka.

Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed berkongsi sejarah bersahabatan yang sangat panjang, bermula sejak baginda berdua menjalani latihan ketenteraan di Royal Military Academy, Sandhurst di United Kingdom dari 1978 hingga 1979.

Keakraban persahabatan baginda berdua terserlah dalam beberapa detik semasa lawatan itu, antaranya ketika Sheikh Mohamed menghadiahkan Seri Paduka foto berbingkai yang merakamkan kenangan semasa baginda berdua di Sandhurst. – BERNAMA


Pengarang :