NASIONAL

Agong perkenan terima Azmin menghadap di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di Istana Negara, semalam.

Mohamed Azmin melalui Twitter rasminya memuat naik beberapa keping gambar pertemuan terbabit yang antara lain menyentuh lawatan baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), minggu lalu.

Menerusi ciapan ditulis pada laman berkenaan,​​​​​​​ Mohamed Azmin turut menjunjung kasih kepada Seri Paduka atas perkenan menerima menghadap dan menjunjung titah nasihat dan serta pedoman yang diberikan oleh Sultan Abdullah.

“Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini mengadakan lawatan khas ke Emiriah Arab Bersatu dan ia memberikan satu lonjakan bagi meningkatkan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan merebut peluang yang disampaikan menerusi lawatan khas Yang di-Pertuan Agong. Hubungan dua hala ekonomi antara Malaysia dan UAE akan dipertingkatkan menerusi pelbagai sektor bagi menambah nilai kerjasama ekonomi,” demikian menurut ciapan di Twitter itu.

-BERNAMA


Pengarang :