SELANGOR

Agrosel-KorAsia meterai MoU kongsi kepakaran teknologi moden

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 3 JUN: Persatuan Agropreneur Selangor (Agrosel) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama KorAsia Group bagi membentuk jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran industri pertanian teknologi moden.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, ia mampu memberi pulangan tinggi serta pendekatan kelestarian alam sekitar (mesra alam) untuk mengurangkan bahan kimia juga plastik.

“Justeru, Agrosel memainkan peranan dalam mencari tanah yang bersesuaian sekali gus membekalkan tenaga petani muda yang bersedia dalam teknologi moden.

“Manakala, KorAsia Group pula bertanggungjawab membawa dana teknologi dan memasarkan produk pada peringkat antarabangsa kerana rantaian nilai pemasaran dalam pembangunan pertanian adalah penting bukan hanya di pasaran tempatan semata-mata .” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agrosel dan Korasia Group di Bilik Mesyuarat Melur Tingkat 15, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Izham berkata, pelaburan sedia ada dan berpotensi bakal menjana ekonomi dalam meningkatkan pelaburan di Selangor khasnya, Malaysia amnya.

Katanya, berdasarkan kajian, cadangan penanaman buah strawberry “Korea Hybric” di tanah rendah dan bersuhu tropika bakal menghasilkan buah yang lebih besar dan manis.

“Tanaman lain seperti jagung bijirin untuk makanan haiwan ternakan, padi kekacang dan sayuran turut menjadi tumpuan dalam kerjasama ini.

“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana mereka mempunyai rangkaian lebih luas untuk ahlinya sekali gus membabitkan belia tempatan yang mampu membawa pulangan hasil tinggi.

“Selaras dengan dasar kerajaan dalam meningkatkan potensi AgroTourism, setiap projek pertanian untuk pelancongan pertanian turut diambil kira dan saya berharap rangka kerja ini berjaya dalam jangka masa panjang,” katanya.

Agrosel adalah sebuah NGO yang ditubuhkan pada tahun lalu serta bergerak aktif dalam menghimpunkan semua latar belakang pertanian dalam satu landasan bagi memperkasakan pertanian khususnya di Selangor.

 


Pengarang :