Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Ahli politik perlu bebas rasuah – Abu Kassim

 

SHAH ALAM, 28 Jun : Ahli politik di negara ini perlu bebas rasuah sebagai langkah permulaan untuk mencapai negara bebas rasuah,” kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata, ia kerana kegiatan rasuah terbesar dalam negara dipercayai melibatkan ahli politik selain berlaku dalam kalangan pengurusan parti politik itu sendiri.

“Pihak pertama yang kena berubah adalah ahli politik‚Ķ mereka ini yang kena berubah kalau mahu orang lain berubah (tidak mengamalkan rasuah).

“Banyak kegagalan amalan mereka (untuk mencegah rasuah), mungkin mereka terlupa atau buat-buat lupa atau tidak sengaja termasuk berkaitan political funding,” katanya dalam program Bicara Minda anjuran akhbar Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di sini, hari ini.

Abu Kassim berkata, dengan pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini yang tegas memerangi rasuah, beliau yakin gejala rasuah dalam kalangan ahli politik dapat dibendung.

Pendekatan itu termasuk melancarkan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) sebagai usaha komited ke arah negara bebas rasuah.

“Antara langkah itu juga, apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan anggota Parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta mereka.

“Sebelum ini (kerajaan terdahulu), susah nak isytiharkan harta, tetapi hari ini kesemua anggota Parlimen telah mengisytiharkan harta mereka masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Kassim meminta semua pihak memberi peluang kepada Latheefa Beebi Koya untuk mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, adalah tidak adil sekiranya Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu dikritik hanya kerana beliau pernah mengganggotai parti politik.

“Beri sokongan kepada Latheefa, bukan nilai beliau dengan mengkritik di mana asal usul beliau… tapi siapa beliau, ketegasannya, sikap berkecuali, ‘fear or favour’ orang itu, ia harus diberi sokongan.

“Lantikan Latheefa ikut kaedah sedia ada, memang perlu libatkan Parlimen tapi garis panduan itu belum sempurna prosesnya. (Datuk Seri) Mohd Shukri Abdull maklumkan kepada Dr Mahathir, kerjanya sudah selesai, jadi Perdana Menteri lantik Latheefa guna proses sedia ada,” katanya.

Latheefa, 46, dilantik ke jawatan itu menggantikan Mohd Shukri, selepas Mohd Shukri memohon memendekkan kontrak beliau lebih awal yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.

Susulan pelantikan itu juga, Latheefa keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 3 Jun lepas, berkuatkuasa serta merta. -BERNAMA


Pengarang :