NASIONAL

Aidilfitri dirai meriah di kedutaan besar Malaysia di China

BEIJING, 5 JUN: Berjauhan dari keluarga dan sanak saudara tidak menghalang rakyat Malaysia di China menyambut Aidilfitri dengan cukup meriah dalam suasana mesra di Kedutaan Besar Malaysia di sini, hari ini.

Sejumlah 250 rakyat Malaysia berhimpun dan mengambil kesempatan beramah mesra dengan petugas kedutaan di sini.

Daripada jumlah itu, 150 daripada mereka adalah pelajar dari 33 buah universiti di sekitar Beijing, yang lainnya adalah petugas kedutaan dan keluarga masing-masing.

Para hadirin mengenakan pakaian tradisional baju Melayu dan songket bagi lelaki dan baju kurung pelbagai warna dan fesyen menarik bagi wanita.

Mereka turut disajikan dengan pelbagai juadah istimewa Aidilfitri seperti sate, rendang, nasi minyak, ayam masak merah dan acar jelatah.

Nuryante Mohd Yazid, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di China, berkata sambutan di daerah Chaoyang itu adalah acara tahunan bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia terutama pelajar merasai suasana hari raya seperti berada di tanah air.

“Ini juga masanya untuk mereka terutama pelajar di sini berkenalan dan beramah mesra dengan petugas kedutaan, dan dalam masa sama menunjukkan bahawa kami mengambil berat terhadap mereka,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata, pihaknya juga merancang untuk mengadakan rumah terbuka dalam masa terdekat untuk meraikan rakyat Malaysia yang berada di China.

Amirah Zahirah Azharuddin, 22, pelajar tahun tiga universiti yang turut menyambut perayaan kali ini berkata beliau dan rakan berasa gembira kerana dapat bersama merasakan kehangatan sambutan Aidilfitri bersama rakyat Malaysia yang lain meskipun berjauhan dari keluarga di tanah air.

“Di sini, kedutaan melayan kami seperti keluarga, ia sedikit sebanyak dapat menghilangkan kerinduan kampung halaman,” kata anak jati Perak ini.

— BERNAMA

 


Pengarang :