NASIONAL

Aidilfitri: Umat Islam bersatu tolak fahaman ekstrem – Shafie

 

KOTA KINABALU, 4 JUN: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, umat Islam perlu lebih peka dan bijak dalam menyaring maklumat, serta mendalami tafsiran yang murni dan benar bagi mengelakkan wujudnya fahaman ekstrem atau gerakan keganasan.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini berhadapan dengan cabaran keselamatan dan keamanan dengan wujudnya fahaman ekstrem, ajaran salah dan gerakan keganasan.

“Justeru itu umat Islam perlu lebih peka dan bijak, dalam menyaring maklumat…Sungguhpun negara kita Malaysia berada dalam kedudukan ketiga paling aman di rantau Asia, namun untuk mengekalkan keadaan tersebut, bukanlah semudah yang disangka,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019.

Pada masa sama, Shafie menyeru agar rakyat dapat mengeratkan lagi perpaduan pelbagai kaum di negeri ini.

“Sempena ketibaan Aidilfitri mulia yang penuh dengan kegembiraan, saya mengajak rakyat memperkukuhkan ukhuwah dan persaudaraan sesama semua.

“Ketepikanlah segala perbezaan, nikmati keharmonian sedia ada dengan budaya berlapang dada, saling berkunjungan, saling maaf memaafi, di samping menikmati juadah yang pelbagai,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata dalam menyambut kedatangan Syawal kepimpinan kerajaan negeri sentiasa peka dengan satu lagi cabaran, iaitu ketidaktentuan ekonomi global.

“Selaku kepimpinan negeri, kita mahu memastikan faedah pembangunan dan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati bersama dan secara saksama.

“Kerajaan negeri juga terus komited menjalankan promosi produk-produk tempatan yang boleh merancakkan lagi kemasukan pelancong ke negeri ini. Seperti yang kita tahu sektor perkhidmatan termasuk pelancongan dan perkhidmatan kerajaan, kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negeri,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :