SEPANG, 24 Mei — Ibu bapa kepada bayi Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak (kiri) dan isteri Nurul Erwani Zaidi (tengah, bertudung hitam) mengaminkan doa sebelum berlepas ke London malam ini bagi menjalani pembedahan ketumbuhan Germ Cell Tumor di bahagian mulut ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Ainul bakal dibedah waktu terdekat – Bapa

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 8 JUN: Bayi perempuan yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, dijangka menjalani pembedahan dalam waktu terdekat.

Menerusi status Facebook bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, pelbagai pertanyaan diterima mengenai hari Ainul Mardhiah akan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu.

“Saya dan isteri berharap kita semua dapat bersabar dan bantu kami mendoakan Ainul.

“Ainul akan dibedah tidak lama lagi, cuma sekarang mereka di sini mahu Ainul besar dan kuat sikit.

“MRI sudah buat dan doktor pakar sudah berbincang dan selepas meneliti keadaan Ainul, mereka sebulat suara menjawab, ya Ainul akan dibedah,” katanya.

Safiuddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia bersama-sama membantu memastikan Ainul Mardhiah selamat tiba serta dapat menjalani rawatan di London.

“Kami memohon doa dari kalian semua buat puteri sulung kami ini, mudah-mudahan berlakunya keajaiban Tuhan dan Ainul selamat semasa menjalani pembedahan tanpa sebarang komplikasi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Dr Nur Amalina Che Bakri, doktor pakar pelatih surgikal warga Malaysia yang bertugas di hospital United Kingdom, bersama sekumpulan pakar pelbagai bidang, bersedia membuat pembedahan terhadap bayi berusia sembilan bulan itu.


Pengarang :