NASIONAL

Aliran trafik perlahan di lebuh raya utama tengah hari ini

KUALA LUMPUR, 8 Jun : Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilapor perlahan setakat tengah hari ini apabila orang ramai bergerak meninggalkan kampung halaman sebelum berakhirnya cuti sekolah dan Aidilfitri.

Maklumat daripada PLUS Trafik menunjukkan trafik tengah hari ini perlahan dari Skudai ke Senai Utara; hentian Kulai (Utara) ke Sedenak; Sedenak ke Simpang Renggam dan terus ke Ayer Hitam; dan sesak di kedua-dua arah di Bangunan Sultan Iskandar.

Trafik turut dilaporkan perlahan dari Jelapang ke hentian Simpang Pulai (Selatan); serta Gopeng ke Tapah dan Bidor seterusnya ke Sungkai.

PLUS Trafik turut melaporkan trafik perlahan dari R&R Gunung Semanggol (Selatan) ke Taiping; hentian Taiping (Utara) ke Bukit Berapit; dan R&R Sungai Perak ke Terowong Menora.

Aliran trafik tinggi turut dikesan dari Senawang ke Port Dickson; Pedas Linggi ke hentian sebelah Senawang (Utara); serta Simpang Ampat ke hentian Pedas Linggi (Utara).

Maklumat daripada LLM Trafik pula menunjukkan bahawa trafik perlahan dari Karak ke Plaza Tol Bentong dan Lentang ke Bukit Tinggi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. -BERNAMA


Pengarang :