Selangorkini
SELANGOR

Alyah puji inisiatif laksana Jelajah 360 Smart Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 30 JUN: Penyanyi terkenal tanah air, Datin Noor Hasliah Abu Hasan atau lebih dikenali sebagai Alyah memuji inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam menganjurkan Karnival Jelajah 360 Smart Selangor.

Alyah ketika ditemui SelangorKini berkata, karnival sedemikian mampu mengeratkan hubungan antara selebriti, masyarakat dan Kerajaan Negeri.

Katanya, usaha Kerajaan Negeri dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor seharusnya dipuji kerana karnival itu sebagai salah satu landasan untuk pemimpin membantu masyarakat.

“Secara jujur selain menyanyi, jiwa saya juga lebih terarah kepada perniagaan dan apabila tiba sahaja di sini saya lihat terdapat banyak gerai jualan. Ini satu perkara yang bagus kerana Kerajaan Negeri menyokong serta menggalakkan rakyat berniaga.

“Saya rasa karnival sebegini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang dan terima kasih MBI kerana mengundang saya menghiburkan pengunjung pada malam ini,” katanya yang ditemui selepas Konsert Alami #SmartSelangor di Stadium Kajang, di sini, malam tadi.

Mengulas perancangan kerjaya seninya kini, penyanyi yang popular dengan lagu Jutaan Purnama itu berkata, beliau sedang giat mempromosikan muzik video terbaharunya iaitu Meluruh.

“Saya baharu sahaja selesai merakam muzik video, Meluruh di Kuala Terengganu dan kini sedang giat untuk merangka promosi ‘single’ terbabit. Nantikan kemunculannya tidak lama sahaja lagi.

“Manakala daripada sisi perniagaan pula, saya juga masih aktif mempromosi produk saya sendiri iaitu kanta lekap Eyenoon by Alyah dan sabun Geboo Crystal Tomato by Alyah,” kata penyanyi berusia 38 tahun itu.


Pengarang :