NASIONAL

Amal bakal bawa 20,000 jemaah haji

SEPANG, 25 JUN: Amal, cabang penerbangan Haji dan Umrah Malaysia Airlines Bhd (MAB) bersedia mengendalikan sehingga 20,000 jemaah bagi musim haji tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Amal, Hazman Hilmi dalam kenyataan berkata, penerbangan pertama dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah dan Madinah, Arab Saudi pada 4 Julai depan.

Katanya, Amal akan menambah sehingga 40 penerbangan di antara Kuala Lumpur dan Jeddah serta Madinah menggunakan pesawat A380-800 bagi fasa haji pertama dari 4 Julai hingga 5 Ogos.

Syarikat penerbangan itu juga akan mengendalikan sehingga 70 penerbangan pengantara menggunakan pesawat B737-800 untuk membawa jemaah haji dari Alor Setar, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Terengganu ke KLIA.

“Amal akan menggunakan pesawat A380-800 yang luas, dikonfigurasikan dengan ciri-ciri unik dalam pesawat yang disediakan untuk jemaah seperti talbiyah, doa musaffir, azan dan tazkirah, serta pengumuman miqat untuk memastikan pengalaman haji bermula pada saat mereka masuk ke dalam pesawat,” katanya.

Katanya, memandangkan jemaah haji biasanya golongan berusia dan 70 peratus daripada mereka kali pertama menaiki pesawat, syarikat penerbangan itu yakin kru pesawat dan kakitangan darat terlatih dapat berkhidmat kepada jemaah haji dengan perkhidmatan tahap tertinggi.

-BERNAMA

 


Pengarang :