BERITA UTAMASELANGOR

AMK anjur majlis solat hajat dan bacaan Yasin tolak fitnah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 JUN: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menganjurkan Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin Menolak Fitnah susulan kontroversi melibatkan seorang pemimpin tertinggi parti awal minggu ini.

Majlis yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar dekat Bukit Megawati, Seksyen 7, Shah Alam tadi dihadiri kira-kira 100 orang.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia merangkap Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha dan Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin.

Amirudin dalam ucapannya selepas majlis itu berkata, pengalaman dan cabaran yang diharungi KEADILAN selama 20 tahun menjadi pengajaran kerana kebenaran akan muncul walaupun menggunakan modal politik kotor.

“Saya percaya dan yakin semua perkara (fitnah) timbul adalah untuk menafikan fokus perubahan yang kita lakukan di (peringkat) Persekutuan serta Kerajaan Negeri.

“Inilah cabaran besar yang kita (perlu) lalui dan hadapi. Sebab itu kita perlu berdoa supaya kebenaran akan terbukti,” katanya.

Pada majlis sama, Muhammad Hilman yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi memaklumkan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kekal bersemangat untuk meneruskan perjuangan.

Beliau turut menyifatkan tindakan fitnah itu sebagai komplot politik yang jijik dan jahat untuk menjatuhkan serta menyekat Timbalan Presiden KEADILAN bersama kementeriannya.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib dan disusuli bacaan Yasin serta solat Isyak sebelum diakhiri dengan solat hajat berjemaah.


Pengarang :