NASIONAL

APMM tahan bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara

KUANTAN, 18 JUN: Helah bot nelayan disyaki dari Vietnam menggunakan nombor pendaftaran nelayan tempatan gagal mengaburi pihak berkuasa apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar dalam kenyataan media di sini hari ini, berkata bot tersebut ditahan pada 4 pagi semalam, kira-kira 77 batu nautika timur dari perairan Kuantan.

“Bot nelayan itu dipercayai sedang menangkap ikan semasa mereka dijumpai dan pemeriksaan di bot yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan PAF4709 menemukan hasil laut dianggarkan seberat empat tan,” katanya.

Zulkarnain berkata 19 tekong dan awak-awak kapal itu, yang semuanya dipercayai warga Vietnam, berusia antara 20 hingga 50 tahun, juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, nilai rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1 juta.

Zulkarnain berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

“Jika disabitkan kesalahan, tiga tekong itu boleh didenda sehingga RM1 juta seorang dan penjara maksimum tiga tahun manakala awak-awak boleh didenda sehingga RM100,000 seorang dengan penjara maksimum dua tahun,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :