SELANGOR

Asam pedas, sambal tumis udang kegemaran Amirudin

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 9 JUN : Asam pedas dan sambal tumis udang menjadi juadah kegemaran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari setiap kali berkunjung ke salah sebuah rumah penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua terbabit.

Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Sungai Tua, Siti Norhayati Radikun berkata, juadah itu sering menjadi menu wajib ketika Amirudin berkunjung ke rumahnya.

Katanya, beliau gembira kerana Amirudin dan keluarga sudi berkunjung ke rumahnya hampir setiap tahun ketika perayaan serta menjamu juadah disediakan.

“Kita memang tahu Dato’ Menteri Besar sukakan lauk kampung dan kita cuba sediakan, Alhamdulillah beliau makan dengan begitu berselera.

“Saya harap amalan kunjung mengunjung ini terus menjadi tradisi memandangkan ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim penduduk dan pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas program Ziarah Hari Raya Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas sama ada pihaknya mahu menganjurkan Rumah Terbuka PWB DUN Sungai Tua, Siti Norhayati berkata, ia masih dalam perancangan.

“Kita sedang dalam perancangan dan mencari masa yang sesuai untuk menganjurkan Rumah Terbuka itu nanti,” katanya.

Terdahulu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua bersama isteri, Masdiana Muhamad dan keluarganya membuat kunjungan hari raya ke 10 buah rumah penggerak utama kawasan sekitar DUN terbabit.

Difahamkan, tradisi itu juga diamalkan Amirudin sejak 10 tahun lalu bertujuan merapatkan silaturahim dan beramah mesra selain menjadi platform beliau mengetahui situasi semasa sesuatu kawasan.


Pengarang :